Social Icons

Pages

Followers

07 September 2009

Enakmen jenayah syariah hak mutlak umat Islam

oleh: Zainul Rijal Abu Bakar


Hukum syarak sudah wujud sebelum zaman penjajah, tak bercanggah Perlembagaan Persekutuan


BEBERAPA pertubuhan berasaskan gender baru-baru ini menghantar memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi mendesak kerajaan mengkaji semula Undang-Undang Kesalahan Jenayah Syariah dalam maksud memansuhkannya agar membolehkan semua rakyat dikawal melalui Kanun Keseksaan Undang-Undang Persekutuan.


Desakan sebegini bukanlah baru, malah sudah berulang kali diutarakan pihak tertentu. Walaupun diberi penerangan jelas berkaitan kedudukan undang-undang jenayah syariah ini dalam negara kita, mereka masih terus memperjuangkan matlamat mereka ini dan menolak sebarang penjelasan.


Sebenarnya, di negara ini undang-undang jenayah syariah wujud sebelum negara mencapai kemerdekaan lagi. Malah pada zaman sebelum penjajah lagi ia wujud begitulah juga pada zaman penjajah sehingga ke hari ini.


Undang-Undang lama seperti Kanun Melaka dan Undang-Undang 99 Perak, malah tulisan di Batu Bersurat Terengganu adalah manifestasi aplikasi undang-undang jenayah syariah di bumi Nusantara. Tidak keterlaluan jika dikatakan Raja-Raja Melayu juga adalah ilmuan Islam dan berjuang mendalami agama serta mengaplikasinya.


Sebahagian daripada kesalahan jenayah syariah itu sebenarnya sudah wujud sebelum kemerdekaan lagi. Umpamanya Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak Selangor 1952 memperuntukkan kesalahan jenayah syariah yang boleh dihukum. Malah Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan Perlembagaan adalah undang-undang utama dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka adalah terbatal jika bertentangan dengan Perlembagaan. Oleh yang demikian, sekiranya undang-undang jenayah syariah itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan ia tidak terbatal kerana undang-undang itu sebelum Hari Merdeka lagi.


Mahkamah Persekutuan di dalam kes Sulaiman Takrib lwn Kerajaan Negeri Terengganu memutuskan antara lainnya kesalahan jenayah syariah yang ada di dalam Enakmen Jenayah Syariah Terengganu dan Selangor adalah berperlembagaan dan sah di kaca mata perlembagaan itu sendiri. Mengapakah keputusan Mahkamah Persekutuan ini tidak diteliti dan hayati?


Penulis tidak nampak dari sudut manakah kesalahan jenayah syariah itu melanggar Perlembagaan Persekutuan. Apatah lagi jika dikaji dari sudut agama juga, sudah tentu kita akan mendapati ia amat bersesuaian dengan apa yang dianjurkan al-Quran dan Sunnah. Tambahan pula ulama sudah menjelaskan isu ini dengan terperinci.


Isu kerajaan tidak sepatutnya menjadi polis moral juga tidak boleh diterima kerana kerajaan bertanggungjawab mengawal tataatur masyarakat menjamin ahli masyarakat hidup dalam aman dan damai. Undang-undang kesalahan jenayah syariah yang hendak dimansuhkan itu sebenarnya terdiri daripada beberapa bahagian yang mengandungi kesalahan yang amat terhad iaitu kesalahan berhubungan dengan akidah (Bahagian II), Kesalahan berhubungan dengan kesucian Agama Islam dan Institusinya (Bahagian III), Kesalahan berhubungan dengan kesusilaan (Bahagian IV) dan Kesalahan Pelbagai (Bahagian V).


Meneliti senarai di atas, sudah pasti kita akan mendapati bahawa undang-undang itu amat perlu bagi menjaga maslahah umat Islam di negara kita. Tidak timbul isu bahawa kerajaan mengganggu kebebasan rakyat kerana kesalahan itu memang jelas bertentangan dengan kehendak Islam.


Undang-undang jenayah sivil pada awalnya adalah berteraskan kepada undang-undang moral. Umpamanya mencuri dilihat sebagai suatu perbuatan yang tidak bermoral kerana ia akan mengakibatkan kezaliman dan kegagalan menjamin hak rakyat menggunakan harta. Oleh hal yang demikian suatu undang-undang digubal bagi menangani gejala ini dan dijadikan suatu kesalahan.


Sekiranya kita tidak mahu mencampuri urusan moral maka terpaksalah kita mengkaji semula banyak undang-undang kesalahan jenayah yang sedang berkuat kuasa dan sudah tentulah ia akan merobek keutuhan masyarakat kita.


Pendita Zaaba juga pernah menceritakan perihal orang Melayu iaitu �sejak orang Melayu memeluk agama Islam sehingga ke hari ini, mereka amat setia dan amat keras pegangannya pada agama yang mereka anuti ini. Walaupun mereka jahil banyak dari segi pengamalan dan kefahaman agama, namun mereka tetap menganggap bahawa itulah satu-satunya agama yang terbaik dan benar, dan tidak ada apapun hujah ataupun pujukan daripada orang kafir yang boleh mengubah sikap mereka yang demikian itu.�


Sebarang usaha memansuhkan enakmen jenayah syariah ini tidak dapat diterima oleh orang Islam.


Malaysia bukan tiba-tiba muncul pada tarikh kemerdekaan negara. Susun atur yang ada beratus tahun sebelum merdeka telah menjana kedudukan agama Islam yang istimewa di negara kita termasuklah undang-undang jenayah syariah. Memansuhkan undang-undang jenayah syariah yang merentasi masa panjang ini akan hanya membawa implikasi serius dan menafikan hak orang Islam untuk mengamalkan agamanya sebagaimana yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.


Penulis adalah Peguam bela dan Peguam cara, peguam Syarie.-Berita Harian-7/9/09

Tiada ulasan:

 

Sample text

Anda Pengunjung ke-

Sample Text