Social Icons

Pages

Followers

20 Oktober 2008

Terapi solat

Terapi solat


Oleh Ziauddin Sharuddin

zia@bharian.com.my (BH-20/10/2008)


KAJIAN saintifik tiga pensyarah Universiti Malaya membuktikan
solat yang diwajibkan kepada umat Islam setiap hari, bukan hanya amalan
kerohanian tetapi terbukti mempunyai hikmah tersirat terhadap fizikal
dan mental terutama meningkatkan tahap kesihatan manusia.

SOLAT sebagai rukun Islam yang wajib dilakukan setiap umat Islam sudah banyak dikaji dari sudut kerohanian.


Bagaimanapun, pernahkah kita berfikir mengenai pengertian setiap
gerakan solat seperti qiyam, rukuk, sujud, duduk antara dua sujud serta
tahiyat awal dan tahiyat akhir.

Adakah gerakan itu hanya sekadar gerakan tubuh yang tidak mempunyai makna?


Kajian sains moden mendedahkan bahawa amalan yang dilakukan lima kali
setiap hari bukan hanya suatu amalan kerohanian yang mendekatkan hamba
kepada penciptanya. Kehebatan solat ternyata memanfaatkan tubuh manusia.


Hasil kajian saintifik membuktikan kewajipan terhadap setiap umat Islam
mempunyai hikmah tersirat terhadap fizikal dan mental manusia.


Lebih membanggakan bukti itu diperoleh hasil kajian anak tempatan,
termasuk seorang bukan Islam. Mereka adalah pensyarah Jabatan
Kejuruteraan Biomedikal di Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya (UM)
yang diketuai Profesor Madya Dr Fatimah Ibrahim bersama Profesor Wan
Abu Bakar Wan Abas dan Ng Siew Cheok.

Penggerak kajian ini
ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan melalui
geran Jabatan Perdana Menteri (JPM), kajian itu bermatlamat menentukan
nilai terapeutik solat terhadap mereka yang melakukan solat, termasuk
dari segi sistem kardiovaskular, komposisi tubuh, isyarat otak dan
aktiviti otot.

Dr Wan Abu Bakar ketika memperjelaskan kajian
itu berkata, mereka adalah jurutera bioperubatan yang mengkaji tubuh
manusia dari segi kejuruteraan.

Katanya, kajian itu cuba melihat apa yang sebenar berlaku kepada fizikal dan mental manusia ketika melakukan solat.


“Kajian dibahagikan kepada beberapa bahagian, iaitu saya mengkaji
aktiviti otot, Siew Chok mengkaji isyarat otak, iaitu apa yang berlaku
kepada gelombang otak ketika solat. Dr Fatimah mengkaji komposisi
tubuh,” katanya.

Beliau berkata, hasil kajian mendapati bahawa
ada banyak perkara positif apabila seseorang melakukan solat dan ini
dimuatkan dalam buku `Solat: Kebaikan Dari Perspektif Sains’ terbitan
Jabatan Kejuruteraan Biomedikal. Buku ini mempunyai dua versi, bahasa
Melayu dan Inggeris.

Setakat ini, kajian itu adalah yang
pertama dilakukan secara saintifik di negara ini. Bagaimanapun, sudah
ada beberapa kajian yang sama, tetapi tidak menyeluruh dan lengkap
seperti yang dilakukan UM.

Seorang doktor perubatan dari Indonesia, Prof Dr Moh Sholeh, melakukan kajian khusus terhadap solat tahajud.


Beliau mengambil sampel darah, hormon tekanan (stress) dan imuniti
dalam badan. Selepas tiga bulan melakukan solat, sampel diambil lagi
dan didapati imuniti meningkat dan hormon tekanan menurun. Rumusannya
solat tahajud boleh merawat barah.

Kajian lain dilakukan oleh
tiga doktor perubatan dari Universiti Hokkaido di Jepun, iaitu Mohammed
Faruque Reza, Yuji Urakami dan Yukio Mano, yang mendapati bahawa posisi
tubuh (posture) solat boleh merawat warga tua yang sakit tulang.


Dr Wan Abu Bakar berkata, kajian sepatutnya berakhir tahun ini, tetapi
jabatan mempunyai beberapa cadangan baru bagi memperluaskan kajian itu.


Memperjelaskan kajian lanjutan itu, Dr Fatimah yang mengetuai kajian
berkata antara bidang baru yang akan dikaji ialah mengenai perbezaan
solat antara orang biasa dan ulama.

“Kajian itu akan mengkaji
isyarat otak ulama dan orang biasa ketika bersolat. Adakah isyarat otak
orang alim adalah lebih tenang berbanding orang biasa kerana kita
menjangka mereka memahami bahasa al-Quran,” katanya.


Bagaimanapun, katanya sukar untuk mendapat ulama secara sukarela
menyertai ujian ini. Beliau memberi jaminan bahawa identiti mereka yang
menyertai ujian dirahsiakan dan hanya dinyatakan sampel adalah dari
kumpulan tertentu.

Berbanding kajian awal yang mengesahkan
solat memberi banyak kebaikan kepada kesihatan manusia, katanya kajian
lanjutan memperjelaskan proses solat merawat pelbagai penyakit.


Mengambil Erektil Disfungsi (ED) atau mati pucuk sebagai contoh,
katanya kajian awal yang dilakukan mengesahkan bahawa solat memberi
kesan positif untuk merawat ED, tetapi mereka ingin mengkaji cara
gerakan solat merawat penyakit itu.

Tiada ulasan:

 

Sample text

Anda Pengunjung ke-

Sample Text