Social Icons

Pages

Followers

27 Julai 2010

PPSM kongsi pengalaman dengan Hakim Nigeria

Sejajar dengan hasrat menjadikan PPSM sebagai persatuan yang memacu transformasi perundangan syariah di peringkat global, satu pertemuan telah berlangsung baru-baru ini antara Presiden PPSM, Dr Haji Mohd Naim Bin Mokhtar dengan beberapa Hakim Mahkamah Tinggi Sivil dari Nigeria.

Dalam pertemuan singkat di Palace Of Justice, Putrajaya, Dr Mohd Naim mengalu-alukan kedatangan rombongan 13 Hakim Mahkamah Tinggi Sivil ke negara ini dan mempelawa mereka untuk berkongsi maklumat  serta idea mengenai perundangan syariah.

Pada kesempatan itu, mereka turut tertarik dengan kaedah sulh yang diamalkan di mahkamah Syariah di mana ia dilihat sebagai kaedah alternatif terbaik untuk mengurangkan kes tertangguh dan perbicaraan yang panjang.
Kunjungan Hakim Mahkamah Tinggi Sivil selama empat hari ke Malaysia bermula 27 Julai yang lalu adalah dalam siri lawatan ke beberapa negara Asean untuk berkongsi maklumat mengenai perundangan dan kehakiman sivil . 

13 Julai 2010

Perutusan Presiden PPSM Sesi 2010-2012

Dr. Hj. Mohd. Na'im bin Hj Mokhtar,
Presiden PPSM sesi 2010-2012



 Assalamu’alaikum warahmatuLlahi wabarakatuh


Yang Amat Arif (Y.A.A) Dato', Yang Arif (Y.A), Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dikasihi  sekalian,



Pertama sekali saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada para Persidangan Pegawai Syariah seluruh Malaysia kali ke-12 di atas kepercayaan terhadap saya untuk menerajui Persatuan ini bagi penggal ke-dua. Sesungguhnya amanah ini teramat berat dan memerlukan komitmen yang bukannya sedikit, namun saya percaya dengan kekuatan barisan saf kepimpinan yang baru dan penggemblengan tenaga seluruh warga PPSM akan dapat merungkai perkara yang tersimpul dan meluncurkan yang tersepit.

Y.A.A, Y.A, Tuan Puan sekalian,

Oleh kerana Persatuan ini bukanlah hakmilik individu, maka di kesempatan ini saya ingin menyeru kepada semua ahli PPSM untuk bersama-sama merasai bahawa persatuan ini adalah milik kita bersama. Jatuh bangun, tergolok dan tergadai maruah Pegawai Syariah dan institusi kehakiman Islam terletak kepada kita semua. Sehubungan dengan itu, saya amat mengharapkan agar Y.A.A, Y.A, Tuan Puan sekalian memberikan idea dan buah fikiran yang membina dalam usaha memastikan perjuangan pegawai syariah semenjak dahulu tidak terbengkalai dan akan berterusan meniti kejayaan. Sebagai langkah pertama saya mohon kerjasama semua agar dapat mengisi borang soalselidik yang telah diemailkan pada minggu lepas dan menyerahkan kepada urusetia seberapa segera agar dapat diberi pertimbangan dan tindakan lanjut .

Akhirnya, saya ingin mengucapkan tahniah kepada barisan exco dan ahli jawatankuasa yang dilantik bagi sesi 2010-2012 dan jutaan penghargaan saya ucapkan kepada barisan kepimpinan 2008-2010 di atas segala komitmen yang tidak berbelah bagi dalam menjayakan visi dan misi persatuan.
.

Selamat Berpersatuan

Salam Hormat,


DR. MOHD. NA’IM BIN MOKHTAR
Presiden
Persatuan Pegawai Syariah Malaysia
Sesi 2010-2012

04 Julai 2010

2 hakim syarie wanita pertama Malaysia

2010/07/04

KUANTAN: Dua hakim syarie wanita pertama negara, Suraya Ramli dan Rafidah Abdul Razak, menyifatkan pelantikan mereka sebagai satu pengiktirafan serta mengangkat martabat wanita dalam kerjaya yang banyak dimonopoli lelaki.

Pengumuman pelantikan mereka dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang berkata buat julung kalinya kerajaan dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin melantik mereka Mei lalu, dengan masing-masing ditempatkan di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Sambil memanjatkan rasa syukur, Suraya dan Rafidah turut menganggap pelantikan itu sebagai satu amanah selain membuktikan peranan dan sumbangan wanita sememangnya dihargai.

“Saya anggap ini tugas besar dan akan menjalankan tugas dengan penuh amanah dan adil. Malah pengiktirafan ini maka lebih ramai lagi wanita akan mampu memegang jawatan yang selalunya dikuasai lelaki,” katanya pada majlis perasmian Persidangan Pegawai Syariah Kebangsaan Ke-12, di Bukit Gambang Resort City, di sini, semalam.

Suraya, 31, anak kelahiran Sabah, bertugas sebagai Pegawai Penyelidik Hakim Rayuan dan Penolong Pengarah Kanan Bahagian Latihan JKSM.

Sementara itu, Rafidah, 39, yang berasal dari Pulau Pinang, menyuarakan penghargaannya kepada JKSM.

“Saya amat terharu dan berterima kasih kepada JKSM. Pelantikan ini juga bukti untuk mengubah persepsi masyarakat yang menunjukkan wanita juga mampu menggalas tugas dipikul golongan lelaki,” kata Pegawai Penyelidik Ketua Hakim Syarie dan Penolong Pengarah Latihan JKSM itu.

Terdahulu, dalam ucapan yang dibacakan Penasihat Agama Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zain, Najib berkata, pelantikan dua wanita itu turut menolak persepsi segelintir masyarakat yang sengaja menuduh Mahkamah Syariah mengamalkan diskriminasi gender sehingga menidakkan hak wanita dan kanak-kanak.

“Pada hari ini ramai wanita seolah merasakan diri mereka teraniaya dan tidak mendapat keadilan yang sewajarnya disebabkan kelewatan penyelesaian kes. Justeru, perlantikan dua Hakim Syarie ini pada pertengahan Mei lalu dapat merungkai permasalahan berkenaan,” katanya.

Najib berkata, kerajaan turut meluluskan peruntukan RM15 juta kepada Bahagian Sokongan Keluarga JKSM bagi membantu pihak yang teraniaya akibat kegagalan suami melaksanakan perintah nafkah oleh Mahkamah Syariah yang bertujuan bagi usaha transformasi institusi perundangan syariah di negara ini.

“Saya berharap setiap pegawai syariah sentiasa proaktif berijtihad dalam pentafsiran hukum syariah yang fleksibel dalam mengembalikan keyakinan umum ke atas keunggulan undang-undang Islam tanpa batasan bangsa atau jantina,” katanya.

Selain itu, katanya, kerajaan turut bersetuju melanjutkan had umur Ketua Hakim dari umur 58 tahun kepada 66 tahun sebagai menyempurnakan tuntutan transformasi selain sedia membantu bagi memberi peluang pegawai syariah melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (Phd).

Suraya, Rafidah wanita pertama dilantik Hakim Syarie

Suraya, Rafidah wanita pertama dilantik Hakim Syarie



KUANTAN 3 Julai – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan buat julung kalinya pelantikan dua orang wanita sebagai Hakim Syarie.

Penolong Pengarah Kanan Bahagian Latihan, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) Suraya Ramli, 31, dan Penolong Pengarah Bahagian Latihan JKSM Rafidah Abdul Razak, 39, masing-masing dilantik Hakim Syarie di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Kuala Lumpur pada pertengahan Mei lepas selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“(Pelantikan ini) bagi mempertingkatkan keadilan dalam sesuatu kes berkaitan kekeluargaan dan hak-hak wanita dan keperluan semasa,” katanya pada majlis Persidangan Pegawai Syariah Seluruh Malaysia kali ke-12 di sini, hari ini.
Teks ucapannya dibaca Penasihat Agama Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md. Zin.
Najib berkata, keputusan luar jangka itu merupakan sebahagian komitmen kerajaan bagi menggalakkan transformasi dalam JKSM.

Perdana Menteri berkata, selain itu, kerajaan turut bersetuju melanjutkan had umur Ketua Hakim. – BERNAMA

03 Julai 2010

Barisan EXCO PPSM sesi 2010-2012

Kuantan, 3 Julai 2010, Persatuan Pegawai Syariah Malaysia telah mengadakan Mesyuarat Agong Tahunannya di Gambang Resort City, Kuantan pada jam 9.00. Mesyuarat yang di rasmikan oleh Y.A.A Tan Sri Ibrahim bin Lembut, Ketua Pengarah JKSM dihadiri oleh Pegawai Syariah seluruh Malaysia.  Disamping membantankan aktiviti PPSM yang lalu mesyuarat juga di maklumkan dengan laporan kewangan PPSM sesi lalu. Kemuncak Mesyuarat Agong adalah sesi pelantikan Exco bagi sesi 2010-2012. Setelah pencalonan dan pemilihan di jalankan dengan tenang dan mendapat kerjasama baik dari hadirin, berikut adalah senarai Ahli Jawatankuasa PPSM sesi 2010-2012 berserta portfolio yang ditetapkan dalam mesyuarat pertama AJK berkenaan. Mesyuarat pertama tersebut dijalankan sebaik tamat Mesyuarat Agong pada hari yang sama.

Barisan EXCO PPSM sesi 2010-2012

Presiden                       : Tn.Dr. Hj Mohd. Na'im bin Hj Mokhtar
Timbalan Presiden         : Tuan Mohamad Shakir Bin Abd Hamid
Naib Presiden 1             : Tuan Abu Suffian Abu Yaziz
Naib Presiden 2             : Tuan Mawardi Bin Che Man,
Setiausaha                    : Tuan Mohd Yusof Bin Sulaiman
Penolong Setiausaha      :Tuan Abdullah Zuhdee Bin Abd Halim
Bendahari                      : Puan Firdawaty Bin Mohamad
Exco Pendidikan            :Puan Hajah Noor Hadina Binti Ahmad Zabidi
Exco Kebajikan             : Tuan Abu Bakar Bin Mohd Daud
Exco Tugas-Tugas Khas : Tuan Wan Mohd Zakri Bin Wan Mohd
Exco Sukan                   : Tuan Muhamad Abdul Karim Bin Wahab
Exco Penerbitan             : Y.A Tuan Zaim Bin Md Yudin
Exco NGO                     : Puan Zuraidah Binti Ayob
Exco Ekonomi               :Tuan Rosdi Bin Hanapi 


Barisan EXCO PPSM sesi 2010-2010

20 Februari 2010

Negeri ada hukuman sebat tetapi tidak kuat kuasa

KUALA LUMPUR: Semua negeri mempunyai peruntukan hukuman sebat mengikut akta, enakmen dan Ordinan Jenayah Syariah tetapi hanya Kelantan pernah melaksanakan hukuman itu terhadap 10 pesalah sejak Undang-Undang Kaedah Hukuman Sebat Kelantan dikuatkuasakan pada 1987.

Pesalah yang disabitkan di negeri lain hanya dijatuhkan hukuman penjara dan denda walaupun kesalahan mempunyai peruntukan hukuman sebat.

Di KOTA BHARU; Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Muhamad, berkata hukuman sebat dilaksanakan pegawai khas yang dilantik Mahkamah Syariah selepas prosiding peringkat Mahkamah Rayuan Syariah berakhir jika pesalah merayu terhadap hukuman.

“Hukuman sebat pertama dilaksanakan pada 7 Januari 1987 membabitkan kesalahan mukadimah zina terhadap seorang lelaki. Cuma ketika itu, hukuman sebat tidak digembar-gemburkan.

"Hukuman berjalan hingga kini dan kali terakhir pada 2004 terhadap seorang lelaki berusia 35 tahun selepas didapati bersalah minum arak. Hukuman sebat bagi pesalah jenayah syariah di negeri ini dijalankan di Penjara Pengkalan Chepa," katanya.

Di JOHOR BAHRU, Ketua Penolong Pengarah Penguat kuasa Jabatan Agama Johor, Mohd Nooh Kadri, berkata Johor mempunyai Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997 yang memperuntukkan hukuman sebat tetapi belum ada pesalah pernah menjalani hukuman itu.

Katanya, enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997 memperuntukkan sehingga enam sebatan untuk kesalahan menyampaikan doktrin palsu, melakukan perbuatan berlawanan hukum syarak, sumbang mahram, pelacuran, muncikari (bapa ayam), persetubuhan luar nikah, liwat dan musahaqah (lesbian).

Beliau berkata, Mahkamah Syariah Johor pernah menjatuhkan hukuman sebatan kepada pesalah jenayah syariah pada akhir 1990-an tetapi tidak dilaksanakan selepas pesalah terbabit membuat rayuan.

Di KANGAR, Jabatan Agama Islam Perlis (Jaips) mempunyai undang-undang yang memperuntukkan hukuman sebat terhadap pesalah minum arak dan benda memabukkan mengikut Seksyen 24(1) Enakmen Jenayah Dalam Syarak Perlis 1991.

Pengarah Jaips, Malik Hussin, berkata setakat ini belum ada pesalah kes itu dikenakan hukuman berkenaan.

Di ALOR SETAR, jurucakap Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik), berkata pihaknya belum memperuntukkan hukuman sebat kerana hukuman yang dikenakan hanya membabitkan denda dan penjara.

Di MELAKA, Ketua Menteri yang juga Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (Maim), Datuk Seri Mohd Ali Rustam mengesahkan setakat ini belum ada rakyat di negeri itu menjalani hukuman disebat mengikut undang-undang syariah.

"Bagaimanapun jika Mahkamah Syariah Melaka hendak melaksanakannya, saya tidak ada halangan dan tambahan pula sebatan banyak dilakukan pelbagai pihak.

"Kadang-kadang di sekolah kalau nakal pun kena sebat, inikan pula orang Islam yang sudah melanggar hukum syariah,” katanya.

Di KOTA KINABALU, Ketua Pendakwa Syarie Negeri Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Zakaria Semela, berkata hukuman sebat diperuntukkan dalam dua enakmen berkaitan jenayah syariah di Sabah.

Katanya, dua enakmen itu ialah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sabah 1995 dan Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Negeri Sabah 2004.

"Bagaimanapun, kes pendakwaan yang disabitkan dan dijatuhi hukuman mengikut enakmen itu belum pernah merangkumi sebatan, sebaliknya hanya denda dan penjara," katanya.

source: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Friday/Nasional/20100219002604/Article/

Senarai Kesalahan Jenayah Syariah yang boleh dihukum sebat

Kesalahan yang boleh dihukum sebat dalam akta/Enakmen
Kesalahan Jenayah Syariah Neger-negeri di Malaysia



SELANGOR

Doktrin palsu (ajaran sesat), mencemarkan tempat ibadat, sumbang mahram, melacurkan diri atau isteri muncikari (bapa ayam), zina, mukadimah zina, persetubuhan bertentangan tabii.


WILAYAH PERSEKUTUAN

Sumbang mahram, pelacuran, muncikari, zina, doktrin palsu, liwat, musahaqah (lesbian).

KELANTAN

Zina, mukadimah zina, liwat, meminum minuman memabukkan.


PERLIS

Meminum minuman yang memabukkan.


PAHANG

Meminum minuman memabukkan, zina, sumbang mahram, zina dengan orang bukan Islam, ajaran salah, suami memaksa, menyokong atau membenarkan isteri melacurkan diri, membuat kenyataan keluar daripada Islam dengan apa-apa tujuan, dakyah atau mengajar agama lain kepada orang Islam.


MELAKA

Perhubungan jenis luar tabii.


SABAH

Zina, melakukan pemujaan, menghina agama Islam, mempermainkan al-Quran dan hadis, ajaran sesat, percubaan murtad, memungkiri pertunangan, mengambil minuman memabukkan.

JOHOR

Doktrin palsu, melakukan perbuatan bertentangan hukum syarak, sumbang mahram, pelacuran, muncikari, persetubuhan luar nikah, liwat, musahaqah.


SARAWAK

Melacur, bapa ayam, zina, lesbian, liwat.


TERENGGANU

Doktrin palsu, perbuatan sumbang mahram, perbuatan sebagai persediaan untuk melacurkan diri, perbuatan sebagai persediaan untuk melacurkan isteri atau kanak-kanak dalam pemeliharaan, melacurkan isteri atau anak, muncikari, musahaqah.


NEGERI SEMBILAN

Sumbang mahram, pelacuran, muncikari, zina, mukadimah zina, persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii.


PERAK

Kesalahan perhubungan muabbad (sumbang mahram), Kesalahan perhubungan ghairu muabbad (golongan haram nikah sementara), melacurkan isteri, zina.


PULAU PINANG

Sumbang mahram, pelacuran, muncikari, zina, liwat, musahaqah, doktrin palsu.

 

Sample text

Anda Pengunjung ke-

Sample Text