Social Icons

Pages

Followers

20 Februari 2010

Sebat mandatori wanita, lelaki Islam berzina

Sebat mandatori wanita, lelaki Islam berzina

Oleh NORILA DAUD
pengarang@utusan.comy

BANGI 19 Feb. - Undang-undang Islam tidak mengira jantina dalam mengenakan hukuman sebat mandatori terhadap tiga jenis kesalahan jenayah syariah di negara ini iaitu minum arak, zina dan qazaf (tuduhan berzina).

Pensyarah di Kulliyyah Undang- Undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datin Dr. Paizah Ismail berkata, hukuman sebat wajib dikenakan kepada pesalah jenayah tersebut tanpa mengira lelaki atau perempuan kerana ia tidak boleh digantikan dengan hukuman lain.

Katanya, pesalah dalam kes-kes berkaitan juga boleh dikenakan hukuman penjara atau denda atau gabungannya tetapi sebatan tidak boleh diganti dengan hukuman lain.

Menurut beliau, hanya yang berbeza ialah perempuan disebat dalam keadaan duduk dan berpakaian menutup aurat sementara lelaki dalam keadaan berdiri.

''Sebatan dilaksanakan ketika pesalah wanita duduk bagi mengelak aurat wanita terdedah, kerana mereka wajib menutup aurat sekalipun sudah meninggal dunia.

''Hukuman sebat adalah wajib dalam kes hudud seperti zina, qazaf (tuduhan berzina) dan minum arak dan tidak boleh ditukar kepada hukuman lain setelah pihak pendakwa berjaya mengemukakan bukti mengikut prosedur yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah pada siri Forum Hadhari di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini semalam.

Beliau antara tiga ahli panel membahaskan Undang-undang Islam dan Hukuman Sebat Wanita pada forum anjuran Institut Islam Hadhari UKM dan Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia (MPWIM) di sini hari ini.

Katanya, walaupun hukuman yang dijatuhkan itu tidak mengikut undang-undang Islam sepenuhnya, namun ia perlu diterima seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Bagi orang-orang Islam yang sabit kesalahan tersebut katanya, boleh dihukum penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau disebat tidak melebihi enam kali atau mana-mana kombinasi hukuman.

Menurutnya, hukuman sebat adalah lebih baik daripada menjalani hukuman penjara kerana selain tidak mengalami kecederaan, pesalah juga tidak menghadapi masalah dibuang kerja atau berpisah dengan keluarga.

Ditanya apakah denda yang diperuntukkan itu memadai dengan kesalahan mengikut undang-undang Islam, Paizah berkata, dalam keadaan realiti sekarang ini, semua pihak perlu menerima seadanya.

"Jika hendak yang lain daripada apa yang diperuntukkan, ia bertentangan pula dengan Perlembagaan, tetapi sekurang-kurangnya hukuman itu boleh menyedarkan dan mendidik mereka yang telah melanggar hukum Islam,'' katanya.

Dalam pada itu, pensyarah di Fakulti Undang-Undang UKM, Dr. Jasri Jamal pula berkata, tiada peruntukan spesifik dalam enakmen, akta atau ordinan Tatacara Jenayah Syariah yang mengecualikan pesalah perempuan dan lelaki berusia lebih 50 tahun dikenakan sebatan.

Menurutnya, peruntukan umum dalam undang-undang tatacara jenayah menyebut: "Peruntukan ini hendaklah terpakai apabila tertuduh dihukum sebat dan perkataan tertuduh itu tidak merujuk jantina dan umur,'' katanya.

Maka itu kata beliau, undang-undang itu terpakai kepada semua pesalah yang dijatuhkan hukuman sebat dalam Mahkamah Syariah.

Beliau seterusnya memberitahu, kebanyakan daripada undang-undang berkaitan sebat syariah yang dilaksanakan di Wilayah Persekutuan dan Kelantan menyamai dengan yang digunapakai di Pakistan.

Sementara itu Pensyarah di Kuliyyah Undang-undang UIAM, Prof. Madya Dr. Nasimah Hussin mencadangkan agar akta yang ada sekarang dipinda supaya hukuman ke atas pesalah boleh ditingkatkan.

Menurutnya, akta yang dipinda pada 1984 tidak boleh menjatuhkan hukuman maksimum seperti menjatuhkan hukuman sebat 40 rotan ke atas kesalahan minum arak seperti dalam undang-undang Islam sebenar.

Tiada ulasan:

 

Sample text

Anda Pengunjung ke-

Sample Text