Social Icons

Pages

Followers

09 Januari 2011

“NIKAH BAWAH UMUR : PATUT ATAU TIDAK

SEMINAR KEBANGSAAN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM

“NIKAH BAWAH UMUR : PATUT ATAU TIDAK


PENGENALAN


Dalam Akta/Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Islam di negeri-negeri memperuntukkan bahawa seorang lelaki layak untuk berkahwin apabila berumur 18 tahun ke atas manakala perempuan pula berusia 16 tahun ke atas.

Walaubagaimanapun dalam undang-undang yang sama juga turut membenarkan lelaki atau perempuan yang di bawah umur untuk berkahwin tetapi dengan mendapat kebenaran daripada Mahkamah Syariah. Oleh itu isu perkahwinan bawah umur sering menjadi kontroversi dari semasa ke semasa.

15 November 2010

Perutusan Presiden PPSM




Assalamualaikum w.b.t.h
 

Saya ingin mengambil kesempatan ini bagi pihak seluruh barisan Exco PPSM untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Eidul Adha. Semoga Allah s.w.t menerima segala amalan qurban kita pada tahun ini dan diberi kekuatan Imaan Islaam dan amal untuk terus berjuang menegakkan syariat Islam di muka bumi Malaysia yang tercinta ini.
 
Wassalam
 
Dr Mohd Na'im Mokhtar
Presiden PPSM

20 Oktober 2010

"Mai pakat join Sukan Mahkamah” – Tuan Mawardi Che Man

Buat julung-julang kalinya, Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM0 dengan kerjasama Jabatan kehakiman Syariah Malaysia akan menganjurkan temasya Sukan Mahkamah Syariah kali-1 (SMS1) pada 17 hingga 20 Disember ini di negeri terengganu darul Iman.

Naib Presiden 2, PPSM, Tuan Mawardi Che Man berkata, hasrat penganjuran SMS1 adalah untuk meningkatkan  semangat kerjasama dan kerja berpasukan serta memperkasa jalinan kerjasama antara JKSM, JKSN dan MSN.

Saf kepimpinan baru PPSM kunjungi Dato’ Jailani

Seramai 9 orang exco Persatuan Pegawai Syariah Malaysia telah mengunjungi Setiausaha Politik kepada Y.A.B Perdana Menteri, Dato’ Jailani Ngah di pejabatnya di Aras 3, Blok Barat, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.

Delegasi diketuai Presiden PPSM sesi 2010-2012 yang baru dipilih iaitu Dr Haji Mohd Naim Bin Mokhtar, Tuan Mohamad Shakir Abd Hamid (Timbalan Presiden), Tuan Abu Sufian Abu Yaziz (Naib Presiden 1), Tuan Mawardi Che Man (Naib Presiden 2), Tuan Mohd Yusof SUlaiman (Setiausaha), Tuan Abdullah Zuhdee Abd Halim (Penolong Setiausaha) dan Puan Firdawaty Mohamad (Bendahari). Turut serta Puan Noor Hadina Ahmad Zabidi (Pendidikan) dan Puan Zuraidah Ayob (Badan Bukan Kerajaan).

20 Ogos 2010

PPSM prihatin penderitaan Datuk Hussain

Penderitaan bekas Hakim Rayuan JKSM, Datuk Hussain Ahamad terubat seketika dengan kunjungan beberapa exco Presiden Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM) dikediamannya di Kajang Impian, Selangor, 25 Julai baru-baru ini.

Dalam ziarah kira-kira setengah jam itu, keceriaan Datuk Hussain jelas kelihatan pada raut wajahnya sebaik melihat kedatangan rombongan exco PPSM yang diketuai Presiden PPSM sesi 2010-2012, Dr Haji Mohd Naim Bin Mokhtar.

18 Ogos 2010

Pelancong Korea tertarik dengan sebatan syariah

Kaedah Sebatan syariah sebagai salah satu bentuk hukuman dalam undang-undang jenayah syariah telah menarik perhatian beberapa pelancong dari Korea Selatan untuk mengetahui dengan lebih mendalam.

Perkara ini diluahkan mereka ketika melawat PPSM dalam sesi taklimat di Bilik Perpustakaan JKSM, Putrajaya 18 Ogos yang lalu. Seramai 13 orang pelancong yang kebanyakkannya bekerja sebagai guru berpendapat sebatan syariah lebih baik kerana ia bersifat mendidik pesalah.

Kedatangan mereka disambut oleh Presiden, Dr Haji Mohd Naim Bin Mokhtar dan Timbalan Presiden Tuan Mohamad Shakir Bin Abdul Hamid. 

27 Julai 2010

PPSM kongsi pengalaman dengan Hakim Nigeria

Sejajar dengan hasrat menjadikan PPSM sebagai persatuan yang memacu transformasi perundangan syariah di peringkat global, satu pertemuan telah berlangsung baru-baru ini antara Presiden PPSM, Dr Haji Mohd Naim Bin Mokhtar dengan beberapa Hakim Mahkamah Tinggi Sivil dari Nigeria.

Dalam pertemuan singkat di Palace Of Justice, Putrajaya, Dr Mohd Naim mengalu-alukan kedatangan rombongan 13 Hakim Mahkamah Tinggi Sivil ke negara ini dan mempelawa mereka untuk berkongsi maklumat  serta idea mengenai perundangan syariah.

Pada kesempatan itu, mereka turut tertarik dengan kaedah sulh yang diamalkan di mahkamah Syariah di mana ia dilihat sebagai kaedah alternatif terbaik untuk mengurangkan kes tertangguh dan perbicaraan yang panjang.
Kunjungan Hakim Mahkamah Tinggi Sivil selama empat hari ke Malaysia bermula 27 Julai yang lalu adalah dalam siri lawatan ke beberapa negara Asean untuk berkongsi maklumat mengenai perundangan dan kehakiman sivil . 

13 Julai 2010

Perutusan Presiden PPSM Sesi 2010-2012

Dr. Hj. Mohd. Na'im bin Hj Mokhtar,
Presiden PPSM sesi 2010-2012



 Assalamu’alaikum warahmatuLlahi wabarakatuh


Yang Amat Arif (Y.A.A) Dato', Yang Arif (Y.A), Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dikasihi  sekalian,



Pertama sekali saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada para Persidangan Pegawai Syariah seluruh Malaysia kali ke-12 di atas kepercayaan terhadap saya untuk menerajui Persatuan ini bagi penggal ke-dua. Sesungguhnya amanah ini teramat berat dan memerlukan komitmen yang bukannya sedikit, namun saya percaya dengan kekuatan barisan saf kepimpinan yang baru dan penggemblengan tenaga seluruh warga PPSM akan dapat merungkai perkara yang tersimpul dan meluncurkan yang tersepit.

Y.A.A, Y.A, Tuan Puan sekalian,

Oleh kerana Persatuan ini bukanlah hakmilik individu, maka di kesempatan ini saya ingin menyeru kepada semua ahli PPSM untuk bersama-sama merasai bahawa persatuan ini adalah milik kita bersama. Jatuh bangun, tergolok dan tergadai maruah Pegawai Syariah dan institusi kehakiman Islam terletak kepada kita semua. Sehubungan dengan itu, saya amat mengharapkan agar Y.A.A, Y.A, Tuan Puan sekalian memberikan idea dan buah fikiran yang membina dalam usaha memastikan perjuangan pegawai syariah semenjak dahulu tidak terbengkalai dan akan berterusan meniti kejayaan. Sebagai langkah pertama saya mohon kerjasama semua agar dapat mengisi borang soalselidik yang telah diemailkan pada minggu lepas dan menyerahkan kepada urusetia seberapa segera agar dapat diberi pertimbangan dan tindakan lanjut .

Akhirnya, saya ingin mengucapkan tahniah kepada barisan exco dan ahli jawatankuasa yang dilantik bagi sesi 2010-2012 dan jutaan penghargaan saya ucapkan kepada barisan kepimpinan 2008-2010 di atas segala komitmen yang tidak berbelah bagi dalam menjayakan visi dan misi persatuan.
.

Selamat Berpersatuan

Salam Hormat,


DR. MOHD. NA’IM BIN MOKHTAR
Presiden
Persatuan Pegawai Syariah Malaysia
Sesi 2010-2012

04 Julai 2010

2 hakim syarie wanita pertama Malaysia

2010/07/04

KUANTAN: Dua hakim syarie wanita pertama negara, Suraya Ramli dan Rafidah Abdul Razak, menyifatkan pelantikan mereka sebagai satu pengiktirafan serta mengangkat martabat wanita dalam kerjaya yang banyak dimonopoli lelaki.

Pengumuman pelantikan mereka dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang berkata buat julung kalinya kerajaan dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin melantik mereka Mei lalu, dengan masing-masing ditempatkan di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Sambil memanjatkan rasa syukur, Suraya dan Rafidah turut menganggap pelantikan itu sebagai satu amanah selain membuktikan peranan dan sumbangan wanita sememangnya dihargai.

“Saya anggap ini tugas besar dan akan menjalankan tugas dengan penuh amanah dan adil. Malah pengiktirafan ini maka lebih ramai lagi wanita akan mampu memegang jawatan yang selalunya dikuasai lelaki,” katanya pada majlis perasmian Persidangan Pegawai Syariah Kebangsaan Ke-12, di Bukit Gambang Resort City, di sini, semalam.

Suraya, 31, anak kelahiran Sabah, bertugas sebagai Pegawai Penyelidik Hakim Rayuan dan Penolong Pengarah Kanan Bahagian Latihan JKSM.

Sementara itu, Rafidah, 39, yang berasal dari Pulau Pinang, menyuarakan penghargaannya kepada JKSM.

“Saya amat terharu dan berterima kasih kepada JKSM. Pelantikan ini juga bukti untuk mengubah persepsi masyarakat yang menunjukkan wanita juga mampu menggalas tugas dipikul golongan lelaki,” kata Pegawai Penyelidik Ketua Hakim Syarie dan Penolong Pengarah Latihan JKSM itu.

Terdahulu, dalam ucapan yang dibacakan Penasihat Agama Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zain, Najib berkata, pelantikan dua wanita itu turut menolak persepsi segelintir masyarakat yang sengaja menuduh Mahkamah Syariah mengamalkan diskriminasi gender sehingga menidakkan hak wanita dan kanak-kanak.

“Pada hari ini ramai wanita seolah merasakan diri mereka teraniaya dan tidak mendapat keadilan yang sewajarnya disebabkan kelewatan penyelesaian kes. Justeru, perlantikan dua Hakim Syarie ini pada pertengahan Mei lalu dapat merungkai permasalahan berkenaan,” katanya.

Najib berkata, kerajaan turut meluluskan peruntukan RM15 juta kepada Bahagian Sokongan Keluarga JKSM bagi membantu pihak yang teraniaya akibat kegagalan suami melaksanakan perintah nafkah oleh Mahkamah Syariah yang bertujuan bagi usaha transformasi institusi perundangan syariah di negara ini.

“Saya berharap setiap pegawai syariah sentiasa proaktif berijtihad dalam pentafsiran hukum syariah yang fleksibel dalam mengembalikan keyakinan umum ke atas keunggulan undang-undang Islam tanpa batasan bangsa atau jantina,” katanya.

Selain itu, katanya, kerajaan turut bersetuju melanjutkan had umur Ketua Hakim dari umur 58 tahun kepada 66 tahun sebagai menyempurnakan tuntutan transformasi selain sedia membantu bagi memberi peluang pegawai syariah melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (Phd).

Suraya, Rafidah wanita pertama dilantik Hakim Syarie

Suraya, Rafidah wanita pertama dilantik Hakim Syarie



KUANTAN 3 Julai – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan buat julung kalinya pelantikan dua orang wanita sebagai Hakim Syarie.

Penolong Pengarah Kanan Bahagian Latihan, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) Suraya Ramli, 31, dan Penolong Pengarah Bahagian Latihan JKSM Rafidah Abdul Razak, 39, masing-masing dilantik Hakim Syarie di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Kuala Lumpur pada pertengahan Mei lepas selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“(Pelantikan ini) bagi mempertingkatkan keadilan dalam sesuatu kes berkaitan kekeluargaan dan hak-hak wanita dan keperluan semasa,” katanya pada majlis Persidangan Pegawai Syariah Seluruh Malaysia kali ke-12 di sini, hari ini.
Teks ucapannya dibaca Penasihat Agama Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md. Zin.
Najib berkata, keputusan luar jangka itu merupakan sebahagian komitmen kerajaan bagi menggalakkan transformasi dalam JKSM.

Perdana Menteri berkata, selain itu, kerajaan turut bersetuju melanjutkan had umur Ketua Hakim. – BERNAMA

03 Julai 2010

Barisan EXCO PPSM sesi 2010-2012

Kuantan, 3 Julai 2010, Persatuan Pegawai Syariah Malaysia telah mengadakan Mesyuarat Agong Tahunannya di Gambang Resort City, Kuantan pada jam 9.00. Mesyuarat yang di rasmikan oleh Y.A.A Tan Sri Ibrahim bin Lembut, Ketua Pengarah JKSM dihadiri oleh Pegawai Syariah seluruh Malaysia.  Disamping membantankan aktiviti PPSM yang lalu mesyuarat juga di maklumkan dengan laporan kewangan PPSM sesi lalu. Kemuncak Mesyuarat Agong adalah sesi pelantikan Exco bagi sesi 2010-2012. Setelah pencalonan dan pemilihan di jalankan dengan tenang dan mendapat kerjasama baik dari hadirin, berikut adalah senarai Ahli Jawatankuasa PPSM sesi 2010-2012 berserta portfolio yang ditetapkan dalam mesyuarat pertama AJK berkenaan. Mesyuarat pertama tersebut dijalankan sebaik tamat Mesyuarat Agong pada hari yang sama.

Barisan EXCO PPSM sesi 2010-2012

Presiden                       : Tn.Dr. Hj Mohd. Na'im bin Hj Mokhtar
Timbalan Presiden         : Tuan Mohamad Shakir Bin Abd Hamid
Naib Presiden 1             : Tuan Abu Suffian Abu Yaziz
Naib Presiden 2             : Tuan Mawardi Bin Che Man,
Setiausaha                    : Tuan Mohd Yusof Bin Sulaiman
Penolong Setiausaha      :Tuan Abdullah Zuhdee Bin Abd Halim
Bendahari                      : Puan Firdawaty Bin Mohamad
Exco Pendidikan            :Puan Hajah Noor Hadina Binti Ahmad Zabidi
Exco Kebajikan             : Tuan Abu Bakar Bin Mohd Daud
Exco Tugas-Tugas Khas : Tuan Wan Mohd Zakri Bin Wan Mohd
Exco Sukan                   : Tuan Muhamad Abdul Karim Bin Wahab
Exco Penerbitan             : Y.A Tuan Zaim Bin Md Yudin
Exco NGO                     : Puan Zuraidah Binti Ayob
Exco Ekonomi               :Tuan Rosdi Bin Hanapi 


Barisan EXCO PPSM sesi 2010-2010

20 Februari 2010

Negeri ada hukuman sebat tetapi tidak kuat kuasa

KUALA LUMPUR: Semua negeri mempunyai peruntukan hukuman sebat mengikut akta, enakmen dan Ordinan Jenayah Syariah tetapi hanya Kelantan pernah melaksanakan hukuman itu terhadap 10 pesalah sejak Undang-Undang Kaedah Hukuman Sebat Kelantan dikuatkuasakan pada 1987.

Pesalah yang disabitkan di negeri lain hanya dijatuhkan hukuman penjara dan denda walaupun kesalahan mempunyai peruntukan hukuman sebat.

Di KOTA BHARU; Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Muhamad, berkata hukuman sebat dilaksanakan pegawai khas yang dilantik Mahkamah Syariah selepas prosiding peringkat Mahkamah Rayuan Syariah berakhir jika pesalah merayu terhadap hukuman.

“Hukuman sebat pertama dilaksanakan pada 7 Januari 1987 membabitkan kesalahan mukadimah zina terhadap seorang lelaki. Cuma ketika itu, hukuman sebat tidak digembar-gemburkan.

"Hukuman berjalan hingga kini dan kali terakhir pada 2004 terhadap seorang lelaki berusia 35 tahun selepas didapati bersalah minum arak. Hukuman sebat bagi pesalah jenayah syariah di negeri ini dijalankan di Penjara Pengkalan Chepa," katanya.

Di JOHOR BAHRU, Ketua Penolong Pengarah Penguat kuasa Jabatan Agama Johor, Mohd Nooh Kadri, berkata Johor mempunyai Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997 yang memperuntukkan hukuman sebat tetapi belum ada pesalah pernah menjalani hukuman itu.

Katanya, enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997 memperuntukkan sehingga enam sebatan untuk kesalahan menyampaikan doktrin palsu, melakukan perbuatan berlawanan hukum syarak, sumbang mahram, pelacuran, muncikari (bapa ayam), persetubuhan luar nikah, liwat dan musahaqah (lesbian).

Beliau berkata, Mahkamah Syariah Johor pernah menjatuhkan hukuman sebatan kepada pesalah jenayah syariah pada akhir 1990-an tetapi tidak dilaksanakan selepas pesalah terbabit membuat rayuan.

Di KANGAR, Jabatan Agama Islam Perlis (Jaips) mempunyai undang-undang yang memperuntukkan hukuman sebat terhadap pesalah minum arak dan benda memabukkan mengikut Seksyen 24(1) Enakmen Jenayah Dalam Syarak Perlis 1991.

Pengarah Jaips, Malik Hussin, berkata setakat ini belum ada pesalah kes itu dikenakan hukuman berkenaan.

Di ALOR SETAR, jurucakap Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik), berkata pihaknya belum memperuntukkan hukuman sebat kerana hukuman yang dikenakan hanya membabitkan denda dan penjara.

Di MELAKA, Ketua Menteri yang juga Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (Maim), Datuk Seri Mohd Ali Rustam mengesahkan setakat ini belum ada rakyat di negeri itu menjalani hukuman disebat mengikut undang-undang syariah.

"Bagaimanapun jika Mahkamah Syariah Melaka hendak melaksanakannya, saya tidak ada halangan dan tambahan pula sebatan banyak dilakukan pelbagai pihak.

"Kadang-kadang di sekolah kalau nakal pun kena sebat, inikan pula orang Islam yang sudah melanggar hukum syariah,” katanya.

Di KOTA KINABALU, Ketua Pendakwa Syarie Negeri Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Zakaria Semela, berkata hukuman sebat diperuntukkan dalam dua enakmen berkaitan jenayah syariah di Sabah.

Katanya, dua enakmen itu ialah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sabah 1995 dan Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Negeri Sabah 2004.

"Bagaimanapun, kes pendakwaan yang disabitkan dan dijatuhi hukuman mengikut enakmen itu belum pernah merangkumi sebatan, sebaliknya hanya denda dan penjara," katanya.

source: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Friday/Nasional/20100219002604/Article/

Senarai Kesalahan Jenayah Syariah yang boleh dihukum sebat

Kesalahan yang boleh dihukum sebat dalam akta/Enakmen
Kesalahan Jenayah Syariah Neger-negeri di Malaysia



SELANGOR

Doktrin palsu (ajaran sesat), mencemarkan tempat ibadat, sumbang mahram, melacurkan diri atau isteri muncikari (bapa ayam), zina, mukadimah zina, persetubuhan bertentangan tabii.


WILAYAH PERSEKUTUAN

Sumbang mahram, pelacuran, muncikari, zina, doktrin palsu, liwat, musahaqah (lesbian).

KELANTAN

Zina, mukadimah zina, liwat, meminum minuman memabukkan.


PERLIS

Meminum minuman yang memabukkan.


PAHANG

Meminum minuman memabukkan, zina, sumbang mahram, zina dengan orang bukan Islam, ajaran salah, suami memaksa, menyokong atau membenarkan isteri melacurkan diri, membuat kenyataan keluar daripada Islam dengan apa-apa tujuan, dakyah atau mengajar agama lain kepada orang Islam.


MELAKA

Perhubungan jenis luar tabii.


SABAH

Zina, melakukan pemujaan, menghina agama Islam, mempermainkan al-Quran dan hadis, ajaran sesat, percubaan murtad, memungkiri pertunangan, mengambil minuman memabukkan.

JOHOR

Doktrin palsu, melakukan perbuatan bertentangan hukum syarak, sumbang mahram, pelacuran, muncikari, persetubuhan luar nikah, liwat, musahaqah.


SARAWAK

Melacur, bapa ayam, zina, lesbian, liwat.


TERENGGANU

Doktrin palsu, perbuatan sumbang mahram, perbuatan sebagai persediaan untuk melacurkan diri, perbuatan sebagai persediaan untuk melacurkan isteri atau kanak-kanak dalam pemeliharaan, melacurkan isteri atau anak, muncikari, musahaqah.


NEGERI SEMBILAN

Sumbang mahram, pelacuran, muncikari, zina, mukadimah zina, persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii.


PERAK

Kesalahan perhubungan muabbad (sumbang mahram), Kesalahan perhubungan ghairu muabbad (golongan haram nikah sementara), melacurkan isteri, zina.


PULAU PINANG

Sumbang mahram, pelacuran, muncikari, zina, liwat, musahaqah, doktrin palsu.

Pesalah syariah insaf selepas hukuman sebat

Pesalah syariah insaf selepas hukuman sebat

GENTING HIGHLANDS: Tiga wanita yang menjalani hukuman sebat syarie menyatakan rasa reda dan insaf mereka terhadap kesalahan yang dilakukan selepas pelaksanaan hukuman pada 9 Februari lepas di Penjara Wanita Kajang.

Pengakuan mereka dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berdasarkan maklum balas yang diterima.

"Mereka melahirkan rasa keinsafan sebab mereka merasakan hal ini melepaskan diri mereka daripada dosa dan rasa bersalah kepada Allah SWT," katanya kepada pemberita semasa Program Pemukiman agensi di Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Jamil berkata, mereka kini sedar perbezaan antara sebatan syariah dan sivil, selain terharu selepas mengetahui apa yang didengar tentang sebatan syariah sebelum ini ternyata tidak benar.

"Kata mereka, 100 sebatan syariah tidak sama walaupun dengan satu sebatan sivil. Dia rasa keinsafan kesedaran sehingga dia memohon supaya rakan-rakan yang lain untuk tidak melakukan kesalahan seperti yang dilakukan mereka," katanya.

Ketiga-tiga mereka turut diberi khidmat kaunseling dalam konteks keagamaan sebelum dan selepas menerima hukuman bagi menyedarkan mereka tentang kesalahan yang dilakukan.

Tiga pesalah wanita itu dihukum sebat mengikut Seksyen 23(2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 (Persetubuhan Haram) selepas didapati bersalah melakukan persetubuhan luar nikah.

Sementara itu, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menyokong penuh pelaksanaan hukuman sebat dan membuktikan kerajaan serius mahu melaksanakan hukuman itu.

"Pelaksanaan ini (hukuman sebat syarie) menyangkal pandangan sesetengah pihak yang menggambarkan seolah-olah hukuman sebat adalah zalim dan tidak berperikemanusiaan," kata Presidennya, Mohamad Isa Abdul Ralip, dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, orang ramai tidak perlu takut dengan hukuman sebat syarie kerana ia sebenarnya bertujuan mendidik, memberi pengajaran dan keinsafan kepada pesalah.

Mohamad Isa berkata, hubungan sebat ke atas model sambilan Kartika Sari Dewi Shukarnor harus disegerakan bagi mengelakkan orang ramai memandang rendah institusi keadilan Mahkamah Syariah. - Bernama

Sebat mandatori wanita, lelaki Islam berzina

Sebat mandatori wanita, lelaki Islam berzina

Oleh NORILA DAUD
pengarang@utusan.comy

BANGI 19 Feb. - Undang-undang Islam tidak mengira jantina dalam mengenakan hukuman sebat mandatori terhadap tiga jenis kesalahan jenayah syariah di negara ini iaitu minum arak, zina dan qazaf (tuduhan berzina).

Pensyarah di Kulliyyah Undang- Undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datin Dr. Paizah Ismail berkata, hukuman sebat wajib dikenakan kepada pesalah jenayah tersebut tanpa mengira lelaki atau perempuan kerana ia tidak boleh digantikan dengan hukuman lain.

Katanya, pesalah dalam kes-kes berkaitan juga boleh dikenakan hukuman penjara atau denda atau gabungannya tetapi sebatan tidak boleh diganti dengan hukuman lain.

Menurut beliau, hanya yang berbeza ialah perempuan disebat dalam keadaan duduk dan berpakaian menutup aurat sementara lelaki dalam keadaan berdiri.

''Sebatan dilaksanakan ketika pesalah wanita duduk bagi mengelak aurat wanita terdedah, kerana mereka wajib menutup aurat sekalipun sudah meninggal dunia.

''Hukuman sebat adalah wajib dalam kes hudud seperti zina, qazaf (tuduhan berzina) dan minum arak dan tidak boleh ditukar kepada hukuman lain setelah pihak pendakwa berjaya mengemukakan bukti mengikut prosedur yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah pada siri Forum Hadhari di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini semalam.

Beliau antara tiga ahli panel membahaskan Undang-undang Islam dan Hukuman Sebat Wanita pada forum anjuran Institut Islam Hadhari UKM dan Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia (MPWIM) di sini hari ini.

Katanya, walaupun hukuman yang dijatuhkan itu tidak mengikut undang-undang Islam sepenuhnya, namun ia perlu diterima seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Bagi orang-orang Islam yang sabit kesalahan tersebut katanya, boleh dihukum penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau disebat tidak melebihi enam kali atau mana-mana kombinasi hukuman.

Menurutnya, hukuman sebat adalah lebih baik daripada menjalani hukuman penjara kerana selain tidak mengalami kecederaan, pesalah juga tidak menghadapi masalah dibuang kerja atau berpisah dengan keluarga.

Ditanya apakah denda yang diperuntukkan itu memadai dengan kesalahan mengikut undang-undang Islam, Paizah berkata, dalam keadaan realiti sekarang ini, semua pihak perlu menerima seadanya.

"Jika hendak yang lain daripada apa yang diperuntukkan, ia bertentangan pula dengan Perlembagaan, tetapi sekurang-kurangnya hukuman itu boleh menyedarkan dan mendidik mereka yang telah melanggar hukum Islam,'' katanya.

Dalam pada itu, pensyarah di Fakulti Undang-Undang UKM, Dr. Jasri Jamal pula berkata, tiada peruntukan spesifik dalam enakmen, akta atau ordinan Tatacara Jenayah Syariah yang mengecualikan pesalah perempuan dan lelaki berusia lebih 50 tahun dikenakan sebatan.

Menurutnya, peruntukan umum dalam undang-undang tatacara jenayah menyebut: "Peruntukan ini hendaklah terpakai apabila tertuduh dihukum sebat dan perkataan tertuduh itu tidak merujuk jantina dan umur,'' katanya.

Maka itu kata beliau, undang-undang itu terpakai kepada semua pesalah yang dijatuhkan hukuman sebat dalam Mahkamah Syariah.

Beliau seterusnya memberitahu, kebanyakan daripada undang-undang berkaitan sebat syariah yang dilaksanakan di Wilayah Persekutuan dan Kelantan menyamai dengan yang digunapakai di Pakistan.

Sementara itu Pensyarah di Kuliyyah Undang-undang UIAM, Prof. Madya Dr. Nasimah Hussin mencadangkan agar akta yang ada sekarang dipinda supaya hukuman ke atas pesalah boleh ditingkatkan.

Menurutnya, akta yang dipinda pada 1984 tidak boleh menjatuhkan hukuman maksimum seperti menjatuhkan hukuman sebat 40 rotan ke atas kesalahan minum arak seperti dalam undang-undang Islam sebenar.

Usah pertikai hukuman sebat

Usah pertikai hukuman sebat

PUTRAJAYA 19 Feb. - Pelaksanaan hukuman sebat termasuk ke atas wanita Islam tidak sepatutnya dipertikaikan kerana ia adalah suatu yang sah mengikut bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, peruntukan hukuman itu sudah lama termaktub dalam undang-undang syariah yang terletak di bawah kuasa negeri-negeri.

Justeru beliau berkata, apa yang penting, penjelasan mengenai perkara itu perlu diberi bagi mengelak timbul salah tanggapan atau pandangan serong masyarakat antarabangsa.

"Apa yang penting sekarang, Jabatan Agama Islam negeri-negeri mungkin dengan kerjasama kita juga dapat memberi pendidikan dari segi pemahaman apakah sebenarnya (hukuman sebatan syariah).

"Ini Kerana ia sudah lama diperuntukkan dalam undang-undang syariah yang dilaksanakan di negeri-negeri dan ini bukan dalam bidang kuasa Persekutuan, (ia) dalam bidang kuasa negeri.

"Ini penting difahamkan supaya tidak timbul tanggapan salah dan serong tentang apa yang berlaku di Malaysia," katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Modal Insan di sini hari ini.

Beliau mengulas pelaksanaan hukuman sebat syariah yang pertama kali dilakukan ke atas tiga wanita Islam pada 9 Februari lalu.

Ia mendapat reaksi meluas masyarakat dan media antarabangsa selain kritikan segelintir pertubuhan bukan kerajaan tempatan yang menganggap hukuman itu satu diskriminasi ke atas golongan wanita.

Muhyiddin berkata, pihaknya melihat media di negara ini telah memainkan peranan untuk memberi penjelasan tentang keadaan sebenar pelaksanaan hukuman tersebut.

"Apabila dikatakan seorang wanita dirotan, mungkin tanggapan masyarakat antarabangsa ia sama seperti dilakukan dalam soal jenayah yang menggunakan 'capital punishment'.

"Sedangkan pendekatan Islam, ia adalah dalam bentuk mendidik dan menginsafkan kepada mereka yang melakukan kesalahan," katanya.

Oleh itu, beliau berkata, sekiranya ada penjelasan, maka tidak akan timbul tanggapan negatif malah sebenarnya hukuman dalam Islam adalah jauh lebih ringan

"Sama ada ia beri gambaran (negatif) keadaan Malaysia mengamalkan cara tersebut, itu terserah kepada masyarakat antarabangsa kerana yang penting pada peringkat ini adalah memberi penjelasan," katanya.

27 Oktober 2009

Lima resolusi martabatkan perundangan syariah

Lima resolusi martabatkan perundangan syariah
Posted on Tuesday, October 27 @ 05:40:50 PDT by Paktam
Oleh Zukri Aksah

Isu bantahan yang dibuat SIS dan JAG terhadap hukuman sebatan ke atas Kartika Dewi Shukarno kerana kesalahan meminum arak di khalayak ramai telah berjaya menyatukan 14 buah NGO Islam di Negeri Pahang. Kejayaan pertama kumpulan ini ialah dengan berlangsungnya sidang media pada Oktober 2 yang lalu.


Semalam, kumpulan yang menamakan diri mereka sebagai Sekretariat Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri Pahang ini sekali lagi mengambil langkah terkedepan bila menganjurkan Seminar Perlaksanaan Perundangan Syariah: Isu dan Cabaran, di Dewan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) di sini.

Dalam sidang media selepas usai seminar tersebut, jurucakap sekretariat, Amidi Abdul Manan, Timbalan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) melahirkan rasa gembira kerana seminar telah berjaya meluluskan lima resolusi penting.

Lima resolusi tersebut adalah pertamanya memberi kuasa dan kebebasan sepenuhnya kepada penguatkuasa Agama Islam dan mahkamah syariah dalam menjalankan tanggungjawab mereka sebagaimana diperuntukkan oleh Enakmen Syariah Negeri tanpa dipengaruhi dan ditekan oleh mana-mana pihak.

Kedua, menyeru kepada ahli politik beragama Islam supaya bertindak secara proaktif dalam memperjuangkan kedaulatan Agama Islam dan institusi mahkamah syariah, juga memperjuangkan perluasan bidang kuasa mahkamah syariah.

Seminar, melalui resolusi ketiga menurut Amidi mendesak supaya pihak berkuasa negeri dan kerajaan memberi tekanan kepada media supaya menyokong dan menghulur kerjasama sepenuhnya kepada NGO Islam dalam mendidik dan memahamkan masyarakat tentang segala isu yang menyentuh kepentingan umat Islam.

Keempat, kerajaan diminta supaya berusaha menaikkan taraf institusi kehakiman syariah supaya setanding dan seiring dengan institusi kehakiman sivil, sesuai dengan semangat pemisahan perlembagaan persekutuan, supaya nanti ia tidak lagi dipandang sebagai institusi kehakiman kelas dua sama ada dari segi kepakaran dan bidang pendakwaan, perjawatan atau jumlah kakitangannya.

Resolusi terakhir pula, jelas Amidi, mencadangkan kepada kerajaan agar mewujudkan satu badan pemantau yang berkuasa mengawasi organisasi-organisasi yang menggunakan nama Islam supaya objektif dan matlamat organisasi-organisasi tersebut selari dengan prinsip Islam serta bukan bertujuan mengelirukan umat Islam dengan ideologi-ideologi dan pendekatan yang nyata terpesong.

Amidi dalam kenyataannya memberitahu bahawa naskhah resolusi yang dinamakan sebagai “Memartabatkan Perundangan Syariah Pahang” ini akan dipersembahkan kepada Tuanku Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, selaku Ketua Agama Islam Negeri, yang mewakili seluruh umat Islam di Negeri Pahang.

Sekretariat, tambah Amidi kini hanya menunggu perkenan Tuanku Sultan untuk menghadap. Ini juga ujar beliau adalah tanda sokongan 14 NGO Islam Pahang kepada Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 (Pindaan 1987).

Seminar Perlaksanaan Perundangan Syariah ini berlangsung sehari dan dirasmikan penutupannya oleh Timbalan Yang DiPertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Dato’ Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan dengan kehadiran kira-kira seramai 300 orang peserta.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Amidi dalam sidang media yang sama mengumumkan yang seminar serupa akan terus dianjurkan di seluruh negara bagi membolehkan orang ramai, terutamanya bukan Islam mendapat kefahaman tentang perbezaan perlaksanaan hukuman di antara mahkamah syariah dan mahkamah sivil.

Pada minggu hadapan sahaja, seminar serupa ini dijadualkan berlangsung di negeri-negeri seperti Selangor, Kelantan dan Perak, atas usaha NGO-NGO Islam negeri-negeri tersebut.

sumber: http://www.detikdaily.net/v5/modules.php?name=News&file=article&sid=4470

25 September 2009

‘Rasul Melayu’ mengaku bersalah, hukuman 2 Oktober

SHAH ALAM 24 Sept. – Meskipun hasrat ketua ajaran sesat, Abdul Kahar Ahmad yang menghilangkan diri sejak pertengahan 2005 untuk dibebaskan dengan ikat jamin tercapai namun keluarganya terpaksa berhempas pulas mencari 10 penjamin kakitangan kerajaan dalam kategori Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) C ke atas.
Dengan syarat jaminan yang ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini, ini bermakna anak-anak Abdul Kahar perlu mencari wang jaminan berjumlah RM10,000 berserta 10 penjamin.
Kesemua enam anaknya hadir di mahkamah hari ini.
Terdahulu, Abdul Kahar, 59, yang telah kematian isteri menukar pengakuan kepada bersalah atas lima tuduhan pindaan termasuk mengisytiharkan dirinya sebagai rasul orang Melayu akhir zaman.
Abdul Kahar yang kelihatan tenang berkali-kali memberitahu Hakim Syarie, Abu Zaky Mohammad bahawa pengakuan bersalah tersebut lahir daripada hatinya, tanpa dipujuk, dipaksa mahupun didorong oleh sesiapa.
Selepas merekodkan pengakuan Abdul Kahar, Abu Zaky membenarkan permohonan Peguam Syarie, Musa Awang agar rayuan bertulis yang disediakannya dibacakan pada tarikh lain memandangkan masa telah menunjukkan pukul 5.30 petang.
Musa turut memohon agar anak guamnya dibebaskan dengan ikat jamin bagi membolehkannya berhari raya bersama keluarga dan dua daripada anak tertuduh yang merupakan penjawat awam yang sanggup menjadi penjaminnya.
Permohonan itu bagaimanapun dibantah Ketua Pendakwa Syarie Selangor, Abdul Shukor Abd. Hamid sebaliknya memohon mahkamah melanjutkan waran tahanan yang dikeluarkan pada 16 September lalu.
Abdul Shukor berkata, setelah didakwa pertama kali di mahkamah pada 17 Ogos 2005, Abdul Kahar diikat jamin RM8,000 sementara menunggu perbicaraan pada 21 September tahun yang sama.
Tertuduh bagaimanapun menghilangkan diri sebelum berjaya ditangkap di rumah sewanya di Sungai Long, Kajang dekat sini pada 16 September lalu, katanya.
Selepas mendengar hujah kedua- dua pihak, Abu Zaky menegaskan, ketidakhadiran tertuduh di mahkamah sebelum ini tanpa sebarang alasan telah menimbulkan kesulitan kepada pihak pendakwaan.
Sekiranya mahkamah membebaskan tertuduh sekali lagi, ujar Abu Zaky, dikhuatiri akan menimbulkan persepsi negatif dan anggapan serong terhadap institusi agama dan mahkamah sendiri.
‘‘Anak-anak sepatutnya memberikan kerjasama memastikan kehadiran tertuduh sejak awal lagi. Namun pada hemat mahkamah, mereka tidak memberikan kerjasama. Sehubungan itu, jika jaminan diberikan ia akan memberikan risiko yang amat tinggi.
‘‘Namun mahkamah memutuskan membenarkan jaminan RM2,000 bagi setiap kes berserta dua orang penjamin dalam kategori JUSA C ke atas.
‘‘Sekiranya ia gagal dilaksanakan hari ini maka tertuduh hendaklah direman di Penjara Sungai Buloh sehingga hukuman dijatuhkan pada 2 Oktober ini,’’ kata Abu Zaky.
Jika mengikut perkiraan biasa, penjawat awam pengurusan tertinggi dalam sektor awam dalam kategori tersebut perlu berkhidmat sekurang-kurangnya 20 tahun dengan gaji pokok RM8,000 sebulan.
Terdahulunya, pertuduhan pindaan dibacakan kepada Abdul Kahar yang memakai kemeja warna kuning ketika prosiding bermula pada pukul 10.45 pagi sebelum ditangguhkan ke sesi petang.
Bekas pekerja Zoo Negara itu didakwa menjelaskan doktrin palsu dengan menyatakan bahawa sembahyang cukup sekadar mencegah perbuatan keji dan perkara mungkar manakala ibadah haji sekarang adalah sia-sia dan merugikan.
Dia juga didakwa mengisytiharkan dirinya sebagai ‘rasul Melayu’ sedangkan ia palsu dan bertentangan dengan Islam dan hukum syarak.
Abdul Kahar turut didakwa menyebarkan pendapat yang bertentangan dengan fatwa iaitu mengakui dirinya rasul (utusan Allah) yang diutuskan untuk orang Melayu.
Dia juga mendakwa, sembahyang lima waktu tidak wajib memadai melakukan kebaikan dan menjauhi kemungkaran. Ibadah haji pula tidak perlu ditunaikan di Mekah dan boleh dikerjakan di mana-mana bumi Allah.
Dia juga didakwa mengingkari arahan mufti dengan mengajar ajaran Kahar kepada tiga pengikutnya; Hanif Taslin, Nurhelmi Ikhsan, Mohammad Nabil Abu Naim walhal ia telah difatwakan sebagai menyeleweng daripada ajaran Islam.
Abdul Kahar turut didakwa mempersendakan dengan perkataan, amalan berhubung agama Islam di bawah Seksyen 10(b) Enakmen Jenayah Syariah Selangor dengan menyatakan sekiranya ada orang yang berbuat mungkar barulah boleh solat, mencegah kemungkaran adalah rukun, mentaati Allah itu adalah sujud, tak perlu tunggang tonggek dan membebel seorang diri.
Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan itu antara 19 Mei 2005 dan 23 Jun 2005 di No.44, Jalan Bunga Ros, Kampung Kemensah, Hulu Klang dekat sini.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 7, 8(a), 10(b), 12(c) dan 13 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995 dan jika sabit kesalahan, dia boleh didenda berjumlah RM21,000 dan penjara.

07 September 2009

Realiti hukuman sebatan Syariah di Malaysia

Ekoran dari isu hukuman sebat terhadap bekas model Kartika Sari dewi Sukarno, wajar diperjelaskan bahawa –

1. Kartika bukan lah orang pertama disebat atas kesalahan minum arak. Di Kelantan seramai 6 orang lelaki telah pernah disebat dengan sebatan syariah (pada tahun 1997; 4 orang, tahun 2001; seorang dan 2003; seorang).

2. Kartika juga bukan wanita pertama dijatuhi hukuman sebatan. Hukuman sebatan Syariah terhadap seorang pesalah wanita pernah diputuskan oleh Mahkamah Syariah Johor pada tahun 2000. Namun pesalah berkenaan telah membuat rayuan ke Mahkamah Rayuan Syariah dan hukuman sebatan telah diketepikan.

3. YA Hakim Dato' Abdul Rahman yang menjatuhkan hukuman sebat ke atas Kartika juga telah pernah menjatuhkan hukuman yang sama beberapa tahun lalu ke atas 2 orang adik beradik yang melakukan kesalahan minum arak . Mereka juga memfailkan rayuan dan rayuan mereka belum didengar.

4. Tohmahan kononnya Kartika dijadikan target untuk disebat adalah fitnah besar terhadap institusi agama, kerana bukan hanya Kartika seorang yang ditangkap dan dijatuhi hukuman sedemikian.Pada masa kejadian, selain dari Kartika, juga telah ditangkap 2 orang lain.- seorang lelaki dan seorang wanita. Keduanya juga dijatuhi hukuman yang sama denda 5000 dan 6 sebatan, namun mereka telah memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan Syariah Pahang. Justeru, bagi memastikan keadilan dan Kartika tidak dihukum lebih berat dari dua orang lagi yang merayu itu, kesnya telah diputuskan oleh Ketua Hakim Syarie Pahang untuk disemak semula.

5. Hukuman keatas Kartika belum dibatalkan, hanya digantung berikutan keputuasan Ketua Hakim Syarie Pahang, YAA Dato' Abdul Hamid hendak membuat semakan terhadap hukuman ke atas Kartika.

6. Jabatan Penjara pula sudah pun mempunyai seramai 171 orang tukang sebat terlatih termasuk 2 orang tukan sebat wanita. Kesemua mereka terlatih dalam menyebat secara sivil, Syariah dan Kanak-kanak.

7. Seorang penyebat wanita telah membuat demo sebatan Syariah dengan penuh bergaya di hadapan Hakim Rayuan JKSM YA Dato' Asri. YA kemudian mengesahkan dan berpuas hati dengan cara sebatan tersebut.

8. Prosedur sebatan Syariah adalah termaktub dalam sek.125 Tatacara Jenayah Syariah Pahang. Di Negeri lain pun ada tatacara yang sama. Gambarannya, apabila melakukan sebatan, hanya tangan yang terangkat tanpa menampakkan ketiak. Tidak seperti sebatan sivil yang memang bersifat cruel dan menyiksa pesalah, sebatan Syariah bersifat mendidik. Justeru adalah tidak wajar sebatan Syariah disamakan dengan sebatan sivil.

9. Kartika sendiri telah insaf dan bertaubat atas perbuatannya dan menuntut supaya beliau dekenakan hukuman berkenaan. Inilah bukti keberkesanan hukuman sedemikian di zaman ini. Keputusan sama ada Hukuman sebat ke atas Kartika akan dilaksanakan atau sebaliknya terserah kepada Jawatankuasa Rayuan Syariah Pahang yang akan bersidang bagi menyemak hukuman YA Hakim Mahkamah Tinggi Phang itu tidak lama lagi.

10. JAG dan SIS melalui memaorandum kepada PM telah mendesak Kerajaan Persekutuan untuk MEMANSUHKAN UNDANG-UNDANG JENAYAH SYARIAH YANG SEDANG berkuatkuasa di negeri-negeri. Tindakan yang sama juga pernah dilakukan melalui memeorandum yang di kemukakan kepada Kerajaan pada tahun 2005 dan ditandatangani oleh 300 individu dan NGO termasuk Menteri2 Kabinet beragama Islam yang sedang berkhidmat.

11. TINDAKAN JAG, SIS DAN KONCO-KONCO MEREKA INI ADALAH TINDAKAN BIADAP MENCEROBOH BIDANGKUASA JENAYAH SYARIAH NEGERI-NEGERI YANG TELAH KITA WARISI SEJAK ZAMAN SILAM DALAM KANUN UNDANG-UNDANG NEGERI-NEGERI MELAYU. (Sila rujuk sinchew.com untuk memorandum penuh mereka bertajuk "Justice For Kartika"

Salam Ramadhan alMubarak dan selamat menyambut hari nuzul al Quran – semoga kita dikurniakan ketaqwaan.

alQurawiyy
 

Sample text

Anda Pengunjung ke-

Sample Text